Huawei Mate 30 Tiada Google Apps

Peranti Huawei yang bakal dilancarkan pada penghujung September, iaitu siri Mate 30, dipercayai tidak menggunakan sistem operasi milik Google atau mengandungi beberapa aplikasi popular milik syarikat itu.

Wujud juga kemungkinan Huawei akan menggunakan sistem operasi mereka sendiri iaitu HongMeng OS atau ArkOS, menurut beberapa laporan media antarabangsa.

Walaupun masih tiada pengesahan berhubung perkara berkenaan daripada Google atau Huawei, tetapi langkah berkenaan bertitik tolak kepada larangan dagangan yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat.

Ia berikutan pentadbiran AS menyekat sebarang bentuk urusniaga dengan syarikat gergasi berpangkalan di China itu.

Siri Mate 30 adalah peranti kelas perdana pertama yang akan dilancarkan oleh Huawei selepas masalah sekatan yang dikenakan kepada syarikat berkenaan beberapa bulan lalu.

Menurut laporan Bloomberg, Google berkata, aplikasi berlesennya tidak akan disediakan untuk model akan datang Huawei.

Terdahulu, eksekutif kanan Huawei berkata, sekatan akan memberi kesan ke atas perniagaan pelanggan berjumlah kira-kira AS$10 bilion (RM44 bilion) dari segi pertumbuhan pendapatan, ‘kurang sedikit’ berbanding anggaran awal pengasasnya, Ren Zhengfei.

Tarikan utama Android adalah ekosistem aplikasinya, sama ada secara terus daripada Google atau pihak ketiga melalui pemaju aplikasi dan penyedia perkhidmatan.

Tanpa keupayaan memasarkan peralatan dengan aplikasi milik Google seperti YouTube, Chrome, Gmail atau Google Maps, ia dijangka memberi kesan ke atas tawaran Huawei.

Tanpa Google Play Store, satu lagi aplikasi berlesen Google, model Mate 30 Pro kehilangan akses kepada ekosistem aplikasi Android dan boleh dianggap sebagai kurang berguna.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *