SICC Dijangka Siap Januari 2020

KOTA KINABALU: Projek pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) kini mencapai tahap 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, projek tersebut kini di peringkat akhir termasuk kerja-kerja meletakkan unsur kebudayaan Sabah ke dalam bangunan itu untuk menampilkan jati diri negeri ini.

Sabah International Convention Centre, SICC

“Lawatan pertama saya empat bulan lalu dan keadaan semasa agak baik menepati waktu, saya dapati persediaan bangunan ini berjalan lancar walaupun ada sedikit sebanyak kerja akhir tapi saya yakin menepati masa awal tahun depan.

“Ini dalam 90 peratus lebih, sedikit kerja akhir pada lantai, lampu dan pendawaian tetapi saya yakin menjelang hujung tahun ini atau jangkaan terbaharu pada Januari tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pembinaan bangunan itu hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christine Liew; Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick dan Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe.

Mohd. Shafie berkata, beliau mahu bangunan itu disiapkan dengan cepat agar dapat digunakan untuk penganjuran program-program besar dan memberi pendapatan kepada kerajaan.

Menurutnya, selepas siap nanti, SICC bakal menjadi satu mercu tanda baharu Sabah dan akan digunakan sepenuhnya untuk mempromosi negeri ini melalui penganjuran program bertaraf antarabangsa.

“Saya buat lawatan empat bulan lalu nampak prestasi dia menepati waktu tetapi kita perlu kejar mereka pasal lagi lama tidak siap lagi tiada pendapatan jadi kalau siap awal boleh anjurkan program.

“Tempat ini besar, memerlukan perbelanjaan besar, air dia bil elektrik sangat besar, insya Allah ini satu lagi infrastruktur yang sudah tentu akan bantu kita promosi Sabah melalui program antarabangsa,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *