Pelajar Perempuan Parah Diseret Kereta

TAWAU: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat parah selepas diseret sejauh 30 meter dalam kemalangan di Jalan Damai, berhampiran bulatan Kampung Titingan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, Nurhalizah Mohd Jaddu, 17, membonceng motosikal ditunggang bapa saudaranya sebelum kenderaan itu dirempuh sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun.

Keadaan motosikal mangsa selepas terbabit dalam kamalangan di Jalan Damai berhampiram bulatan Kampung Titingan, di Tawau. – Foto Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata ketika kejadian, mangsa dan bapa saudaranya yang turut cedera dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Titingan manakala pemandu kereta juga melalui jalan arah yang sama.

Beliau berkata, ketika bapa saudara mangsa mahu membelok ke kiri menuju Kampung Titingan, pemandu kereta terbabit tertekan pedal minyak sehingga melanggar motosikal berkenaan yang berada di hadapannya sebelum terbabas ke dalam kawasan paya.

Foto BESTAWAUfm

“Akibat perlanggaran itu, pembonceng motosikal (Nurhalizah) terperosok di bahagian bawah kereta Proton Saga berkenaan dan diseret sehingga ke kawasan paya manakala penunggang tercampak di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Peter berkata, mangsa dan bapa saudaranya masing-masing mengalami kecederaan dan pendarahan di bahagian kepala sebelum dihantar ke unit kecemasan Hospital Tawau.

Katanya, pemandu kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Berita Harian