Samun & Rogol, Lelaki Warga Asing Ditahan Di Sandakan

SANDAKAN, 28 Ogos: Seorang warga asing ditahan oleh polis Sandakan kerana disyaki merogol seorang suri rumah yang disamunnya minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata lelaki berumur 38 tahun itu ditangkap di tepi jalan Taman Nassalim di sini pada 21 Ogos dua hari selepas mangsa, seorang pemegang dokumen IMM13 berumur 20-an, membuat aduan disamun dan dirogol di sebuah rumah setinggan di Batu 2.5, Jalan Utara di sini.

“Suspek bergerak secara bersendirian dengan berjalan kaki dan memasuki rumah mangsa melalui ruang dapur dan seterusnya, mengacukan sebilah parang ke arah mangsa.

“Mangsa turut kehilangan barang kemas dianggrkan bernilai RM250,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd Azhar, ujian air kencing terhadap suspek turut mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan siasatan awal turut mendapati suspek tidak mempunyai kesalahan lampau.

Suspek kini direman untuk siasatan lanjut sehingga 30 Ogos ini, tambahnya.

Pada sidang akhbar itu, Mohd Azhar turut memberitahu tentang kejayaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menyelesaikan 25 kes jenayah dengan merampas 40 barang kes pecah rumah, curi kenderaan dan samun dengan anggaran nilai berjumlah RM100,000 di sekitar Sandakan sepanjang bulan ini (Ogos).

Katanya, 16 orang ditangkap terdiri daripada empat tempatan dan 12 warga asing berumur 23-51 tahun.

Beliau berkata kejayaan penyelesaian kes jenayah itu menyumbang kepada kira-kira 64 peratus kejayaan IPD Sandakan sejak awal tahun ini.

Mohd Azhar turut mengesyorkan semua taman perumahan di daerah ini supaya mewujudkan skim rondaan berpasukan sebagai usahasama dengan polis menjaga keselamatan harta benda dan nyawa di taman perumahan masing-masing.

“IPD Sandakan akan melawat taman-taman perumahan dalam masa terdekat untuk mempromosikan skim ini,” tambahnya. BERNAMA

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *