SESB Rugi RM44,800 Sebulan Akibat Curi Elektrik Di Pulau Gaya

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kerugian kira-kira RM44,800 sebulan akibat kegiatan penyambungan haram elektrik yang dikesan berleluasa di dua kampung di Pulau Gaya, di sini.

Difahamkan, kira-kira 70 peratus daripada lebih 100 rumah di dua perkampungan atas air terbabit iaitu Lok Urai dan Kesuapan melakukan penyambungan elektrik secara haram iaitu tanpa menggunakan meter.

Kegiatan itu dikesan dalam operasi membanteras kegiatan curi elektrik atau penyambungan haram yang dilaksanakan syarikat utiliti terbabit dengan kerjasama polis dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyrakat (UPPM) Tanjung Aru di kampung berkenaan, baru-baru ini.

Timbalan Pengurus Besar Pembahagian (Perkhidmatan Pelanggan) SESB, Abdul Karim Ahmad, berkata penyambungan haram elektrik adalah antara punca kebakaran yang sering berlaku di penempatan atas air, terutama setinggan di negeri ini.

Katanya, sikap penduduk, terutama penghuni setinggan yang tidak mempedulikan larangan SESB selain tidak takut bahaya atau risiko akibat perbuatan mereka antara cabaran yang menyebabkan kegiatan haram itu masih berlaku.

“Penyambungan elektrik secara haram dan tidak selamat dilakukan penduduk meningkatkan risiko keselamatan seperti kebakaran akibat litar pintas selain terkena renjatan elektrik,” katanya ketika mengulas mengenai operasi itu.

Dalam operasi itu, seramai 45 anggota SESB dengan bantuan polis dan UPPM Tanjung Aru melaksanakan pemeriksaan dan pemotongan sambungan haram elektrik membabitkan 60 rumah di Kampung Lok Urai dan Kesuapan.

Abdul Karim berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penyambungan haram elektrik untuk keselamatan orang ramai, selain memastikan SESB tidak terus berdepan kerugian.

“Kita juga menasihatkan orang ramai dan pemimpin masyarakat agar menyalurkan maklumat segera jika mengesan perbuatan penyambungan haram di kawasan masing-masing untuk tindakan segera pihak SESB,” katanya.

SESB sudah lama berdepan isu curi elektrik khususnya yang membabitkan penempatan setinggan di seluruh negeri, selain sudah melaksanakan banyak operasi untuk membanteras kegiatan haram itu, namun sehingga kini belum ada kesudahan.

Pelbagai program kesedaran turut dilaksanakan SESB termasuk menghebahkan melalui media tindakan yang bakal dihadapi orang ramai dan bahaya dihadapi mereka jika melakukan penyambungan elektrik secara haram juga tidak memberikan kesan.

Sementara itu, katanya penduduk kampung perlu menggunakan saluran yang betul untuk melakukan penyambungan elektrik di rumah masing-masing dengan menyediakan dokumen berkaitan dan teratur sebelum mengemukakannya ke pejabat SESB berhampiran.

Berita Harian

30