Sembilan Lagi Pasukan Bomba Komuniti Ditubuhkan Di Sabah

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 27 Ogos: Sebanyak sembilan lagi pasukan Pasukan Bomba Komuniti (PBK) ditubuhkan di Sabah, menjadikan sebanyak 212  pasukan itu telah ditubuhkan di seluruh negeri ini sejak 2012.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, sebelum ini, Sabah hanya mempunyai dua PBK, dengan keahlian sekitar 50 anggota pada awal penubuhannya.

“Namun kini kita lihat penubuhan PBK di Sabah amat menggalakkan, dan ramai masyarakat khususnya di kawasan yang jauh daripada balai bomba menyertai PBK.

“Sabah telah mempunyai 212 PBK dengan keanggotaan seramai 3,247 orang membabitkan 2,693 anggota lelaki dan 554 wanita. Kita percaya PBK mampu memainkan peranan besar, bukan sahaja semasa kebakaran, tetapi juga semasa kejadian bencana,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan PBK Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata dengan pembabitan masyarakat dalam Program Bomba Komuniti yang dibuat secara sukarela, mampu membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menjaga keselamatan masyarakat, khususnya dari bahaya kebakaran.

“Pasukan PBK yang ditauliahkan itu akan bersedia digerakkan pada bila-bila masa, bagi membantu orang ramai dalam kerja-kerja menyelamat dan bantuan, kepada mangsa ketika berlakunya sebarang insiden.

Zuraida berkata, dengan pengetahuan asas mengenai keselamatan kebakaran seperti pencegahan kebakaran, demonstrasi memadam menggunakan alat pemadam api dan kaedah penyelamatan yang didedahkan dalam modul Bomba Komuniti, pihaknya percaya ilmu itu akan dapat memberi manfaat kepada masyarakat sendiri.

“Saya percaya ilmu pengetahuan ini bukan saja dapat dipraktikkan, malahan dapat diperluaskan kepada ahli keluarga, jiran tetangga dan komuniti dalam kampung atau penempatan selaras dengan objektif pelaksanaan PBK itu sendiri.

“Ketika ini, Sabah mempunyai paling ramai PBK berbanding seluruh negeri lain di negara ini. Pasukan ini tidak mempunyai peruntukkan daripada kerajaan, namun saya akan mencadangkan kepada Menteri Ekonomi untuk mewujudkan satu skim yang bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, Zuraida telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan kementerian berkenaan.

“Kita bincangkan beberapa perkara berkaitan polisi kerajaan negeri dan pusat. Saya faham Sabah mempunyai autonomi dia sendiri berkaitan beberapa perkara, namun ada beberapa perkara juga yang memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan pusat.

“Menerusi perbincangan ini kita berharap kerjasama kita akan terus erat khususnya perkara berkaitan pembangunan Pihak Berkuasa Tempatan dan hal-hal berkaitan perumahan di Sabah,”

BERNAMA