PPM Kota Kinabalu Tahan Peniaga Dan Pemandu Lori, Cuba Seleweng Tong Gas LPG

Peniaga dan pemandu bersama lori yang sarat muatan tong gas LPG ditahan PPM Kota Kinabalu kerana terbabit dalam kegiatan penjualan tong gas LPG di Kota Kinabalu. – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

KOTA KINABALU: Seorang peniaga warga Pakistan dan pemandu lori ditahan kerana dipercayai menjalankan kegiatan menjual tong gas petroleum cecair (LPG) tanpa permit di kawasan SAFMA, di sini, hari ini.

Kedua-dua suspek berusia 27 dan 45 tahun ditahan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu dalam satu Operasi Terancang kira-kira jam 10 pagi.

Peniaga dan pemandu bersama lori yang sarat muatan tong gas LPG ditahan PPM Kota Kinabalu kerana terbabit dalam kegiatan penjualan tong gas LPG di Kota Kinabalu. – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, risikan dan pemantauan yang dijalankan oleh Unit Risik Marin (URM) mengenal pasti kegiatan penjualan tong gas LPG tanpa permit di bandar raya ini.

“Hasil pemantauan terhadap lori jenis Daihatsu di kawasan SAFMA didapati seorang lelaki tempatan dilihat sedang menunggu didalam kenderaannya dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut oleh sepasukan pegawai dan anggota URM pada ruang penyimpanan bahagian belakang lori berkenaan menemui 40 tong gas LPG,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga Pakistan yang sedang berurusniaga dengan pemandu lori terbabit.

“Hasil semakan mendapati pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membolehkan sebarang transaksi penjualan, penyimpanan dan pemindahan tong gas LPG dilakukan.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM50,000,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan urus niaga barang kawalan berjadual LPG tanpa lesen sah.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *