Kota Kinabalu Bandar Raya Bersih, Bebas Sampah Menjelang 2025

Bandaraya Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meletakkan matlamat untuk memastikan Kota Kinabalu menjadi sebuah bandar raya terbersih dan bebas daripada sampah sarap menjelang 2025.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Arifin Asgali yang bertanggungjawab kepada DBKK berkata ia adalah seiring dengan manifestasi kerajaan negeri untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri bersih, sihat dan bebas sampah memandangkan negeri ini sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

“Industri pelancongan adalah satu daripada sumber utama ekonomi Sabah. Namun, kita berdepan cabaran besar dalam usaha memelihara dan memperbaiki lagi aset yang menjadi tarikan pelancong kerana isu pembuangan sampah di merata tempat masih berleluasa di bandar raya ini seperti di pantai dan tapak berniaga.

Kota Kinabalu

“Dalam sehari, DBKK menguruskan lebih 800 tan sampah sarap di Tapak Pelupusan Sampah Kayu Madang, yang mana 500 tan daripadanya adalah janaan sampah di Kota Kinabalu. Kawasan kotor, tidak teratur dan pemandangan tidak menarik sudah tentu menjejaskan industri pelancongan, apatah lagi Kota Kinabalu adalah pintu masuk utama ke Sabah.

“Justeru, adalah penting untuk terus meningkatkan lagi tahap kebersihan di bandar raya ini,” katanya ketika melancarkan inisiatif ‘KK Bersih’ sempena ‘KK Moving Forward’ yang turut dihadiri Datuk Bandar DBKK Datuk Nordin Siman di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita, Arifin berkata inisiatif ‘KK Bersih’ adalah langkah permulaan mencapai matlamat memastikan Kota Kinabalu tanpa sampah dengan pelbagai aktiviti direncanakan ke arah meningkatkan lagi kesedaran penduduk setempat terhadap pentingnya menjaga persekitaran bandar raya tersebut.

“Apa yang penting sekarang adalah memastikan kebersihan persekitaran perlu dijadikan sebagai tabiat dan bukan hanya program semata-mata supaya kita semua boleh mengamalkan hidup bersih serta sihat dan ia bermula daripada diri kita sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBKK Noorliza Awang Alip berkata DBKK sedang menyediakan modul menerusi inisiatif ‘KK Bersih’ antara lain menggalakkan penggunaan semula dan kitar semula bahan buangan selain meninjau sistem pelupusan sampah di kawasan kampung dan pinggiran Kota Kinabalu.

Ia turut memberi fokus kepada masalah pembuangan sampah sarap di atas air dan penempatan setinggan di sekitar Kota Kinabalu dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, katanya.

BERNAMA