
KOTA KINABALU, 25 Ogos: Seramai 54 individu ditahan atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah dalam operasi dijalankan di sekitar Kota Kinabalu termasuk Sembulan dan Manggatal selama seminggu bermula pada 17 Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata kesemua individu ditahan itu berumur antara 13 hingga 63 tahun termasuk 16 daripada mereka adalah warga asing.

Beliau berkata dua individu ditahan atas kesalahan membekal dan pengedaran dadah, manakala 12 individu ditahan atas kesalahan memiliki dadah dan 40 individu lain ditangkap kerana didapati positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan.
“Turut dirampas 33.27 gram syabu dianggarkan bernilai RM1,663.50,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di Kota Kinabalu akan terus diperhebatkan demi kesejahteraan serta ketenteraman awam dan masyarakat setempat diminta memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529 220 atau menerusi laman Facebook IPD Kota Kinabalu, katanya.
BERNAMA