PGA Beluran Rampas Lori Dengan Muatan Minuman Keras

RAMPAS: Minuman keras yang dirampas oleh PGA BN 20 Beluran semasa penugasan RCP Sapi Nangoh.

BELURAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion (BN) 20 Beluran merampas 155 kotak minuman keras dipercayai belum lulus kastam semasa penugasan RCP di KIlometer 4 Sapi Nangoh di sini, lewat petang kelmarin.

Pegawai Memerintah PGA BN 20 Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata turut dirampas sebuah lori kontena 3 tan yang digunakan untuk mengangkut muatan minuman keras terbabit.

Beliau berkata kesemua rampasan minuman keras bersama lori dianggarkan bernilai RM60,000.

“Dalam serbuan pada 24 Ogos kira-kira jam 6.45 petang, semasa Insp Oliver Nordin bersama anggota Platun 2 Kompeni A, BN 20 PGA Beluran, telah menahan dan memeriksa sebuah lori kontena yang dipandu seorang lelaki tempatan.

“Di bahagian belakang lori terbabit terdapat beberapa jenis minuman keras yang dipercayai belum diluluskan oleh pihak kastam,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Nasaruddin berkata minuman keras yang dirampas adalah jenis Skol tin sebanyak 140 kotak dan jenis Royal Stout tin sebanyak 15 kotak.

Katanya barang rampasan termasuk lori bersama pemandu lori ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan selanjutnya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *