‘Barter Trade’ Sabah, Filipina Dan Indonesia Dilancar Minggu Depan

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan Desa, di Kompleks Sukan Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan melancarkan aktiviti perdagangan tukar barang atau ‘barter trade’ bagi produk minyak masak tidak bersubsidi dengan Indonesia dan Filipina, minggu depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata usaha ini antaranya bertujuan mengelak berlakunya penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara luar.

“Barang bersubsidi (minyak masak) sepatutnya hanya untuk pengguna tempatan, namun masih berlaku penyeludupan barangan berkenaan ke negara luar seperti Filipina dan Indonesia.

“Justeru, menerusi pelancaran aktiviti ‘barter trade’ yang akan dilancarkan minggu depan, ia membolehkan pengusaha dari Indonesia dan Filipina memahami bekalan atau produk bersubsidi) bukan untuk orang luar.

“Sebaliknya, kita menawarkan minyak masak tidak bersubsidi menerusi aktiviti `barter trade’ yang akan dilancarkan nanti kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Sabah di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Timbalannya, R Sivarasa dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata aktiviti ‘barter trade’ itu akan membabitkan dua agensi kerajaan negeri iaitu Sawit Kinabalu dan Benta Wawasan.

“Bekalan minyak masak di Sabah akan dibahagikan kepada dua iaitu untuk kegunaan tempatan yang akan dikendalikan Benta Wawasan manakala untuk eksport, Sawit Kinabalu.

“Usaha yang kita ambil ini juga sebagai persediaan untuk menerima pelbagai kesan susulan cadangan pemindahan ibu kota Jakarta ke Kalimantan. Pemindahan ini akan memberi kesan yang besar, justeru kita perlu bersiap sedia secara keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan lebih banyak pasar raya menjual produk yang dihasilkan usahawan luar bandar di negeri ini.

“Kita mahu lebih banyak produk tempatan yang dihasilkan usahawan luar bandar di negeri ini dijual di pasar raya, terutama yang ada kualiti.

“Kerajaan negeri menggalakkan lebih ramai masyarakat luar bandar berkecimpung dalam bidang keusahawanan. Ini kerana sektor keusahawanan ini penting selain dapat membantu melonjakkan ekonomi negara ini.

“Selain itu, kawasan luar bandar mempunyai banyak sumber untuk diterokai oleh usahawan di kawasan berkenaan. Kerajaan negeri juga akan terus menyokong bagi membolehkan apa juga inisiatif yang dibawa oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar ke negeri ini demi manfaat rakyat,” katanya.

Sementara itu, seramai 350 peserta menyertai karnival yang berlangsung selama empat hari hingga esok, antaranya 144 gerai pameran usahawan desa; gerai pameran tarikan Sabah (37); 14 gerai pameran pelancongan dan empat penyertaan `Rural Business Outlet’ (RBO).

Karnival itu mencatatkan penyertaan majoriti usahawan wanita iaitu kira-kira 79 peratus daripada jumlah keseluruhan penyertaan usahawan desa.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *