PPM Sabah Rampas Rokok Dan Minuman Keras Bernilai Setengah Juta Ringgit

Antara barangan tanpa cukai yang berjaya dirampas. – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan dua lelaki mengedar rokok dan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai dianggarkan bernilai setengah juta ringgit dalam Ops Landai, hari ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 31 dan 44 tahun ditahan bersama kenderaan yang sarat di Kampung Pinawantai, Matunggong, kira-kira jam 12 tengah hari.

Antara barangan tanpa cukai yang berjaya dirampas. – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Isuzu D Max yang dinaiki dua suspek menemui 590 bungkus rokok dan 29 kotak minuman keras pelbagai jenama.

“Kenderaan dan semua rokok serta minuman keras yang dirampas bernilai RM70,980,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sikuati, di sini, hari yang sama.

“Seterusnya pemeriksaan menemui 8,130 bungkus rokok dan 210 kotak berisi minuman keras di dalam rumah dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan barangan tanpa cukai berkenaan. Nilai rampasan kedua berjumlah RM430,000.

Dua lelaki tempatan membawa rokok dan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai ditahan semasa Ops Landai di Matunggong hari. – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“Operasi yang dijalankan oleh PPM Kudat kali ini berjaya menumpaskan dua suspek warga tempatan dan jumlah keseluruhan rampasan nilai RM500,980,” katanya.

Jelasnya, tangkapan dan semua barang rampasan di bawa ke markas operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *