Polis Kota Kinabalu Tahan Lapan Warga Filipina Tiada Dokumen

Tahanan yang gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri sah.

KOTA KINABALU: Polis menahan lapan pendatang tanpa izin (PTI) yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri sah dalam Ops PTI Bersepadu yang dijalankan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata operasi selama empat jam bermula 11 pagi hingga 3 petang itu pada mulanya menjalankan pemeriksaan terhadap 35 individu termasuk tujuh kanak-kanak.

“Seramai 27 individu dibenarkan balik selepas pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen mengesahkan dokumen pengenalan diri yang dimiliki.

“Lapan yang lain berumur 16 hingga 56 tahun kemudiannya ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri sah.

“Kesemua warga Filipina yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Habibi berkata operasi yang dijalankan di beberapa kawasan termasuk Manggatal, Inanam, Luyang serta sekitar bandaraya di sini turut dijayakan Pasukan Gerakan Am (PGA), Rela, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Tambahnya, operasi itu juga akan dijalankan berterusan bagi membanteras kawasan mempunyai kadar pertumbuhan PTI yang berpotensi boleh mengundang kegiatan jenayah di daerah ini.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *