Belum Banyak Premis Perniagaan Di Tuaran Kibar Jalur Gemilang

Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sabah mula dipasang di Bangunan Urusetia Tuaran – Foto BERNAMA

TUARAN, 18 Ogos: Belum banyak premis perniagaan dan kediaman persendirian  di sini mengambil langkah mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri. 

Tinjauan Bernama mendapati hanya agensi kerajaan mengibarkan jalur gemilang dan bendera negeri pada pejabat masing-masing.

Jabatan terbabit ialah Urusetia Daerah Tuaran, Majlis Daerah Tuaran (MDT), Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran, Pusat Penyelidikan Pertanian Sabah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, Jabatan Penerangan dan Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran.

Premis perniagaan yang ada di pekan ini tidak semua mengibarkan jalur gemilang dan negeri, walaupun tempoh sambutan bulan kebangsaan semakin hampir .

Pekerja MDT sudah memasang jalur gemilang dan bendera negeri pada hampir semua tiang lampu sepanjang laluan dari Bulatan Berungis hingga Pekan Tuaran sejak awal bulan ini.

Penduduk, Stanley John, 59, berkata penduduk sewajarnya mengambil pendekatan sendiri mengibarkan bendera seawal mungkin tanpa perlu menunggu saat akhir menjelang bulan kemerdekaan sebagai tanda sayangkan tanah air.

“Kita tidak seharusnya merasa rugi membelanjakan RM10 membeli bendera untuk dikibarkan di rumah atau pada kenderaan sebagai memeriahkan bulan kemerdekaan setahun sekali,” katanya kepada Bernama, di sini.

BERNAMA