Polis Marin Sandakan Rampas Barang Tiruan Bernilai Hampir RM30,000

Pegawai dan anggota PPM Sandakan menunjukkan barangan tiruan yang dirampas di sebuah premis di Bandar Sibuga Jaya, Sandakan. Foto Ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah

SANDAKAN, 16 Ogos (Bernama) — Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya merampas jam tangan, dompet dan beg pelbagai jenama terkenal disyaki tiruan bernilai RM29,405, dalam satu operasi di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata sebanyak 186 utas jam tangan, dan 226 dompet dan beg ditemui ketika pasukan PPM memeriksa sebuah premis di Bandar Sibuga Jaya di sini, dalam operasi bermula 5 pagi, berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh Unit Risikan Marin (URM) Sandakan.

Antara barangan tiruan yang dirampas. – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“PPM telah menyerbu premis yang dijadikan tempat penyimpanan dan beroperasi untuk menjalankan perniagaan. 

“Siasatan awal mendapati barang-barang ini dipercayai diseludup masuk dari negara jiran, melalui jalan laut dan URM Sandakan telah lama menjejaki dan berusaha mengumpul maklumat, sebelum serbuan dijalankan pada pagi semalam,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Menurut Mohamad Pajeri, barang berkenaan dipercayai untuk dijual di sekitar Sandakan, secara borong dengan harga serendah RM10.

Beliau berkata seorang lelaki tempatan berumur 66 tahun disyaki pemilik barangan berkenaan turut ditahan, dan kesemua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk siasatan lanjut, katanya.

Mohamad Pajeri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barangan palsu, dan denda tidak lebih RM30,000 bagi kesalahan kedua dan berikutnya bagi setiap barangan palsu atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BERNAMA