Lelaki Ditahan Cium Doktor Dalam Pesawat

Sekadar Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan ditahan polis selepas didakwa mencium seorang doktor wanita berusia 29 tahun ketika dalam pesawat, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, lelaki berusia 25 tahun itu didakwa mencium bibir doktor wanita yang tertidur ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke ibu negeri ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati suspek dikatakan datang ke ibu negeri ini untuk bertemu tunangnya.

Bagaimanapun katanya, mangsa yang sedang duduk bersebelahan suspek mendakwa menyedari bibirnya dicium sebelum tersedar dan melihat suspek dalam keadaan kelam kabut.

“Mangsa kemudiannya bertanyakan kepada lelaki berkenaan namun dia menafikan mencium mangsa dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), mangsa terus ke balai polis di lapangan terbang berkenaan untuk membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Habibi berkata, suspek ditahan malam tadi kira-kira jam 8 malam di kawasan Karamunsing dan akan dimohon reman hari ini untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Harian Metro