Peneroka Ladang Sinua Mohon Campur Tangan Dari Ketua Menteri Selesai Kemelut

Tapak semaian kelapa sawit di Ladang Sinua. Gambar SNT/Ihsan Jawatankuasa Ladang Sinua

KENINGAU: Nasib projek usahasama ladang kelapa sawit – Ladang Sinua – di mukim Lanas di sini kini tidak menentu berikutan pertikaian antara pihak pengurusan baharu Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (LKTNS) dan pemaju projek.

Perjanjian usahasama antara LKTNS dengan 689 keluarga peneroka dari tiga buah kampung berdekatan untuk membangunkan ladang kelapa sawit seluas 10,000 ekar telah ditandatangani pada tahun 2015 atas usaha Ahli Parlimen Pansiangan pada ketika itu, Tan Sri Joseph Kurup.

Robert James. Gambar Fail SNT

“Para peneroka bagaimanapun kini menghadapi masalah kerana sudah dua bulan kerja-kerja pembersihan dan juga kerja di ladang dihentikan atas arahan pengurus besar baharu LKTNS,” kata Robert James, 54 yang merupakan ketua jawatankuasa Ladang Sinua.

Beliau berkata jika masalah itu tidak ditangani dengan cepat ianya akan menjejaskan keseluruhan projek usahasama dan akan mengakibatkan kerugian jutaan ringgit serta menyebabkan para peneroka kehilangan punca pendapatan.

Disebabkan masalah tersebut dijangka akan berpanjangan, Robert berkata kesemua 689 keluarga peneroka memohon bantuan daripada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar campur tangan dalam mencari jalan penyelesaian.

“Kami sangat berharap agar Ketua Menteri dapat campur tangan untuk membantu mencari jalan penyelesaian segera,” katanya, sambil menambah bahawa masalah itu kini timbul walaupun hanya tinggal sekitar 1,500 ekar lagi Kawasan yang masih belum dibersihkan.

“Walaupun kami telah menghadapi pelbagai cabaran dan masalah sejak empat tahun lalu tetapi kami berjaya mengatasinya dengan kerjasama antara pemaju, penduduk kampung dan pengurusan LKTNS yang sebelumnya.

“Kami telah mendapat begitu banyak faedah daripada projek ini termasuk jalan raya yang lebih baik ke kampung kami, bekalan elektrik selain menjadi mata pencarian bagi penduduk kampung dengan bekerja di ladang,” katanya.

Difahamkan hal itu berlaku kerana pengurusan baharu LKTNS mempersoalkan jumlah yang diperolehnya daripada perjanjian usahasama tersebut.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *