Fasiliti Pusat Rekreasi Air Terjun Madai Akan Dinaiktaraf

Air Terjun Madai – Gambar Media Sosial

KUNAK: Dalam usaha merancakkan industri pelancongan di Kunak, peruntukan sebanyak RM100,000 telah diluluskan Jabatan Perhutanan Sabah bagi fasa pertama menaiktaraf dan memperbaiki fasiliti Pusat Rekreasi Air Terjun Madai di sini.

NORAZLINAH ARIF

Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Norazlinah Arif, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kunak, berkata kerja menaiktaraf dan menambah baik, yang meliputi pagar, kantin, bangunan pusat informasi, bilik persalinan pakaian dan rumah rehat, tangki air serta pam air elektrik, itu akan dimulakan dalam tempoh seminggu lagi dan dijangka mengambil masa dua bulan.

“Sudah tentu bagi fasa kedua akan datang adalah titian gantung dan laluan anak tangga ke air terjun.

“Saya harap fasa pertama ini dapat berjalan dengan lancar dan segera disiapkan bagi membolehkan kita mempromosikan air terjun ini kepada agensi-agensi pelancongan,” katanya pada Majlis Ibadah Korban Perdana anjuran bersama Parlimen Silam dan Dewan Undangan Negeri Kunak di Masjid Daerah Kunak di sini hari ini.

Norazlinah turut menekankan sistem keselamatan patut diberi keutamaan dan kakitangan yang mencukupi bagi memantau aktiviti di pusat rekreasi itu bagi mengelak insiden kemalangan membabitkan pengunjung dan pekerja pusat rekreasi.

Mengenai majlis itu, beliau berkata sembilan ekor lembu disembelih dan daging korban diagihkan kepada golongan asnaf dan penduduk kampung sekitar yang bergotong-royong dalam menjayakan program itu.

BorneoToday