
SANDAKAN: Dua beradik menempuh detik cemas apabila terjun dari tingkat dua rumah mereka yang terbakar di Jalan Batu 2 1/2, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa Marina Zulfiqar, 24, dan Risqi Zulfiqar, 8, dilaporkan mengalami kecederaan di kaki dan tangan selepas terjun dari ketinggian kira-kira 10 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.33 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan 14 anggota.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati rumah yang dipercayai dihuni kira-kira enam keluarga itu masih terbakar dan usaha memadamkan kebakaran segera dijalankan.

“Api berjaya dikawal jam 12.48 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.32 petang selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan lebih 370 meter persegi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jimmy berkata, dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut.
Selain itu katanya, pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden itu
Difahamkan, dalam insiden itu, hampir semua penghuni tidak sempat menyelamatkan harta-benda mereka kerana api merebak terlalu cepat.