Abang Menyerah Diri Selepas Tertembak Adik Ketika Memburu

Gambar Hiasan

KENINGAU: Seorang lelaki ditahan selepas menyerah diri kerana tersilap melepaskan tembakan menggunakan senapang bakakuk sehingga mengorbankan adiknya ketika memburu di kawasan hutan Sabindo Plantation, Ulu Pangas di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu mangsa seorang lelaki berusia 30-an yang parah di bahagian perut dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke pekan Keningau.

Difahamkan, suspek bersama adik dan dua anak saudaranya keluar memburu ke kawasan hutan Sabindo Plantation, Ulu Pangas, Apin-Apin, pagi Khamis lalu.

Suspek membawa bekalan makanan, satu laras senapang bakakuk dan peluru, namun selepas dua hari berada di dalam hutan berkenaan, tiada sebarang haiwan buruan diperoleh.

Dipercayai pada pukul 3.30 petang semalam, suspek bersama adiknya meneruskan pemburuan dan ketika sedang memburu tiba-tiba suspek terdengar bunyi dan menyangka ia adalah haiwan lalu melepaskan tembakan.

Bagaimanapun, dia terkejut selepas mendengar jeritan adiknya yang kemudian didapati sudah terbaring berlumuran darah akibat terkena tembakan.

Suspek kemudian meminta bantuan dua anak saudaranya dan membawa mangsa ke Keningau namun ketika perjalanan mangsa sudah tidak bernyawa.

Ketua Polis Daerah Keningau Superintendan Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan selepas kejadian suspek ditahan polis selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

“Suspek lelaki berusia 40-an ditahan selepas menyerah diri kira-kira pukul 8 malam semalam manakala mayat adiknya di bawa ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan.

“Polis turut merampas satu laras senapang bakakuk dan sebutir peluru. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *