Sabah Perhalusi Undang-Undang Berkaitan Orang Asal

PENAMPANG: Kerajaan akan memperhalusi undang-undang sedia ada mengenai definisi, hak dan kepentingan orang asal bagi mengukuhkan lagi perundangan yang melindungi golongan berkenaan di negeri ini.

Ketua menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya sudah meminta Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah dan pakar undang-undang, termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum untuk meneliti perkara itu.

Katanya, langkah itu perlu bagi mengatasi kelemahan dalam undang-undang sedia ada yang menyebabkan banyak masa dihabiskan untuk berbahas mengenai hak dan kepentingan orang asal.

“Saya sudah minta untuk perhalusi perundangan negeri bagi menguatkan lagi undang-undang sedia ada supaya tiada kelemahan hingga usaha memajukan ekonomi orang asal terabai,” katanya ketika meyempurnakan sambutan Hari Orang Asal Sedunia peringkat negeri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau; Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar; Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob dan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri mengambil berat nasib masyarakat orang asal yang kebanyakannya masih ketinggalan dari segi ekonomi dan pembangunan infrastruktur menyebabkan mereka terus terpinggir dan mundur.

“Saya lawat kampung di Nabawan dan Pensiangan, orang Murut di sana masih ketinggalan. Sebab itu saya lantik Datuk Dr Richard Gunting sebagai Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) agar dia dapat bangunkan penduduk di Pensiangan.

“Tempat yang jauh seperti di Pensiangan dan Tongod tiada pelabur berminat untuk datang tetapi kita sebagai kerajaan akan pastikan supaya kita dapat bangunkan tempat yang terpencil ini,” katanya.

Katanya, beliau turut melantik Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri kerana berpendapat kudratnya sebagai orang muda membolehkannya melaksanakan program pembangunan di luar bandar dengan lebih baik.

Beliau berkata, Ewon diberi kepercayaan untuk melaksanakan program pembangunan yang boleh menambah baik kehidupan masyarakat di luar bandar sejajar usaha kerajaan baharu untuk membawa lebih banyak perubahan di kawasan luar bandar.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *