Polis Labuan Tahan 6 Individu Bantu Siasatan Rompakan Bersenjata & Menyebabkan Kecederaan

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad

LABUAN: Polis Labuan menahan tiga lelaki kerana melakukan rompakan berkumpulan, manakala tiga lagi kerana mendatangkan kecederaan berhampiran, dua pusat hiburan terkenal di sini pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian pertama melibatkan tiga lelaki berumur antara 20 hingga 30 tahun, yang mana salah seorang mereka terlibat dalam penyalahgunaan dadah, telah merompak seorang lelaki Turki di luar sebuah pusat hiburan di Jalan Bunga Puteri Malu pada 2.30 pagi.

Katanya, lelaki Turki itu bertindak melawan kumpulan perompak tersebut dan dalam pergelutan itu, beliau mengalami kecederaan ringan.

“Kumpulan tiga lelaki itu melarikan diri selepas merompak RM1,000 daripada mangsa, namun kami berjaya menahan mereka di beberapa lokasi di antara 12.30 tengah hari hingga 3 petang semalam,” katanya di sini hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam satu lagi kejadian berasingan, tiga lelaki didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki, di sebuah bar di Jalan Jati kira-kira jam 12.48 tengah malam.

Mengikut laporan, ketiga-tiga lelaki yang tidak dikenali itu sedang minum di premis yang sama dengan mangsa, sebelum rakan mangsa menghampiri kumpulan tersebut dan melakukan sorakan ‘Cheers’ bersama mereka.

“Bagaimanapun tidak lama kemudian, dua daripada mereka tiba-tiba pergi ke meja mangsa dan memukul beliau dan rakannya menggunakan kerusi dan botol yang menyebabkan mereka mengalami kecederaan,” katanya.

Farid berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun itu, kemudiannya menyerah diri di balai polis pada 6.30 pagi dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *