Pengedaran Dekoder MYTV Percuma Di Sabah Diteruskan Walau Selepas 30 September

KOTA KINABALU, 9 Ogos: Pemasangan dan pengedaran dekoder (set top box) percuma MYTV akan diteruskan kepada penerima yang layak menerima perkhidmatan itu, walaupun selepas penyiaran TV Digital myFreeview bermula pada 30 Sept ini di Sabah.

Timbalan Pengarah Jabatan Penciptaan Digital dan Platform Pengedaran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Faisal Hamdi Mohammed Ghouth berkata, agak mustahil untuk semua penerima, menerima dekoder itu sebelum September ini, kerana faktor demografi yang mencabar.

“Oleh itu kita memang memerlukan lebih banyak masa untuk mengedar dan memasang dekoder di seluruh negeri Sabah. Mana-mana penerima yang belum menerima set dekoder itu, kita akan pertimbangkan semula dengan senarai yang terkini.

“Kita akan minta bantuan Kerajaan Negeri Sabah mengenal pasti mereka yang hanya menonton TV Analog sahaja dimasukkan dalam senarai penerima, sebab mereka adalah golongan yang benar-benar terjejas apabila analog itu dipadamkan,” katanya pada Taklimat Khas Peralihan Siaran TV Analog dan pelaksanaan kempen mempromosi siaran TV digital myFreeview di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di sini hari ini.

Faisal Hamdi berkata 228,767 set dekoder diperuntukkan di Sabah bagi set Televisyen Terestrial Digital (DTT) dan DTH (Direct-To-Home). 

 Bagaimanapun sebanyak 41,573 set unit DTT dipulangkan semula ke MYTV kerana penerima tidak dapat dikesan, disebabkan perubahan alamat dan tempat tinggal, penerima telah meninggal dunia dan penerima enggan menerima.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *