Kereta Nasional Ketiga Diumum Hari Ini

Darell menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari ASEAN ke-52 di Kementerian Luar hari ini. Foto Darell Leiking

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dijangka membuat pengumuman mengenai projek kereta nasional ketiga, hari ini.

Pengumuman berkenaan yang akan dilakukan di Cyberjaya, antara lain akan membincangkan secara lanjut mengenai projek hasil cetusan idea Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam siri lawatannya ke Jepun, tahun lalu.

Penguman berkenaan akan disiarkan secara langsung di Facebook Harian Metro, http://www.facebook.com/harianmetro kira-kira jam 10 pagi nanti.

Cadangan mewujudkan jenama baharu kereta nasional itu adalah bagi menggantikan PROTON yang tidak lagi dianggap sebagai jenama kereta nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely).

Projek kereta nasional pertama yang juga hasil cetusan idea Dr Mahathir, dibangunkan PROTON Holdings Bhd (Proton) pada 1980 dan selepas itu, usaha kedua pula dilaksanakan dengan penubuhan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) pada 1992.

Berdasarkan jangkaan dan sasaran Dr Mahathir, kereta nasional ketiga ini nanti

bakal dilengkapi teknologi automotif terkini seperti enjin hibrid selain ciri-ciri keselamatan termaju dan dibangunkan sepenuhnya hasil kepakaran tenaga tempatan.

Harian Metro