Seorang Pekerja SESB Melecur, Rakan Cedera

Anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran yang berlaku pada kotak panel elektrik di sebuah pencawang elektrik di Kampung Bahagia, Tenom. NSTP/Ihsan BOMBA.

TENOM: Seorang pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melecur manakala rakannya cedera selepas kotak panel elektrik 11 kilovolt (11kv) terbakar di sebuah pencawang elektrik di Kampung Bahagia, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 3.30 petang itu, mangsa Ahmad Kawi Siman, 54, parah akibat melecur 64 peratus manakala Sabdin Kadir, 52, hanya cedera ringan.

Mangsa yang cedera akibat kebakaran pada kotak panel elektrik di sebuah pencawang elektrik di Kampung Bahagia dibawa ke hospital Tenom untuk rawatan lanjut. Foto Ihsan Pembaca.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Tenom menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.41 petang.

Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dikejar ke lokasi kejadian dan dilaporkan kebakaran membabitkan kotak panel elektrik 11kv yang terbakar 10 peratus.

“Api berjaya dipadamkan bagaimanapun terdapat dua mangsa di mana seorang daripadanya parah iaitu melecur dan seorang lagi cedera ringan ketika melakukan kerja penyelenggaraan di pencawang itu,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Khatizah berkata, pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa dan menyerahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke Hospital Tenom.

“Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Operasi kemudian ditamatkan pada jam 5.15 petang,” katanya.

Mangsa yang cedera akibat kebakaran pada kotak panel elektrik di sebuah pencawang elektrik di Kampung Bahagia dibawa ke hospital Tenom untuk rawatan lanjut. Foto Ihsan Pembaca.

Berita Harian