Polis Tahan Suspek Calar Kenderaan Di Parkir KKIA

Antara kereta yang dicalar di parking KKIA

KOTA KINABALU, 8 Ogos: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes khianat, mencalar beberapa kenderaan di kawasan parkir Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata suspek lelaki berusia 33 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Seri Pandan Putatan, kira-kira pukul 11.30 malam, Isnin lepas.

Foto Ihsan Pembaca

“Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku kesalahan itu, menggunakan gunting untuk mencalarkan kereta pengadu. Suspek juga mengaku melakukan perbuatan yang sama terhadap beberapa kenderaan lain yang diparkir di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Habibi berkata sebelum suspek ditahan seorang mangsa telah membuat laporan bahawa kenderaannya dicalarkan di kawasan parkir lapangan terbang berkenaan pada Ahad lepas.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan menyebabkan kerugian.

foto Ihsan Pembaca

BERNAMA

56