Dipukul Sebab Tegur Pemandu Letak Kereta ‘Double Park’

Gambar Hiasan

MINTA ALIHKAN KERETA, DIPUKUL PULA

PENAMPANG: Seorang lelaki cedera dipukul selepas menegur seorang pemandu supaya mengalihkan kenderaannya yang diletakkan di tepi jalan kerana menyebabkan kesesakan lalu lintas di hadapan kedai runcit, Putatan, kelmarin.

DSP Mohd Haris Ibrahim. Gambar Fail SNT

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 35 tahun cedera di bahagian bahu, pinggang dan pergelangan kaki selepas diserang suspek lelaki berusia 55 tahun.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata siasatan mendapati mangsa cuba meminta suspek untuk mengalihkan kenderaan milik suspek kerana diletakkan di tepi jalan hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Susulan itu, berlaku salah faham sehingga suspek bertindak agresif apabila menolak pintu kenderaanya dan mengenai mangsa hingga dia terjatuh.

“Suspek terus keluar daripada kenderaan dan memukul mangsa sebelum dileraikan oleh orang awam yang melihat kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang jam 12.49 tengah malam.

“Suspek dalam kejadian itu sudah dikenal pasti dan polis sedang mengesan suspek terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

SabahNewsToday