MOSAR Selamatkan Pendaki Sesak Nafas Di Gunung Kinabalu

Seorang pendaki warga United Kingdom diselamatkan anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) selepas mengalami sesak nafas ketika berada di Penginapan Panden Hut, Gunung Kinabalu. – Foto ihsan bomba

RANAU: Seorang pendaki warga United Kingdom (UK) terpaksa diselamatkan selepas mengalami sesak nafas ketika berada di Panden Hut, Gunung Kinabalu, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Isobel Molly Clarke, 23, dilaporkan meminta bantuan pihak pengurusan gunung berkenaan selepas mengalami sindrom akut gunung (AMS).

Penyelia Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Hasbi Hajat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.40 malam berhubung kejadian itu.

Bertindak atas maklumat itu, tujuh anggota Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOSAR) dikejarkan ke lokasi bersama sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk memberi bantuan segera.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa diberikan rawatan awal bagi menstabilkan keadaannya sebelum dibawa turun menggunakan kaedah ‘piggy back carry’.

“Mangsa seterusnya dibawa ke Timpohon Gate sebelum diserahkan kepada pasukan EMRS untuk dibawa ke Hospital Ranau,” katanya.

Mohd Hasbi berkata, operasi ditamatkan pada jam 1.30 pagi.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *