14 Tahun Jadi Hamba Seks Bapa Angkat, Wanita Tampil Buat Laporan Polis

SUSPEK

LAHAD DATU; 4 OGOS 2019 (Ahad) – Setelah 14 tahun dipercayai dirogol dan menjadi hamba seks kepada bapa angkatnya, seorang wanita warga tempatan berusia 27 tahun akhirnya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Lahad Datu, 28 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor dalam kenyataan berkata,
susulan laporan polis yang dibuat mangsa, polis kini memburu suspek bernama Mohd Insang anggaran umur 50-an untuk siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang tidak bekerja itu dipercayai dirogol banyak kali diantara pukul 10 malam hingga 3 pagi sejak 2004 semasa berumur 12 tahun sehingga Disember tahun lepas di tiga lokasi berasingan iaitu di sebuah rumah setinggan Belakang perumahan Kesihatan, Belakang perumahan Pertanian dan Kampung Sarip.

Mengulas lanjut, beliau berkata Selepas kedua ibu bapa mangsa bercerai pada 2004, mangsa dan dua orang adik mangsa diserahkan kepada suspek untuk dijaga.

Katanya, selepas tidak tahan tinggal bersama suspek selama 14 tahun, mangsa kemudian nekad untuk keluar rumah dan tinggal bersama ibunya.

Menurut ACP Nasri, mangsa sebelum ini tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa kerana berasa takut dengan ugutan yang diberikan oleh suspek yang mahu membunuh mangsa sekeluarga sekiranya menceritakan kejadian itu kepada sesiapa atau membuat laporan polis.

Jelasnya, mangsa telah dirujuk di Hospital Lahad Datu pada 28 Julai kira-kira pukul 3.00 petang dan pemeriksaan lanjut oleh Doktor O & G telah mendapati kesan koyakan lama di hymen mangsa.

Sehubungan itu, ACP Nasri berkata suspek kini diburu dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi balai polis berdekatan bagi siasatan dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

SUMBER: #BESTAWAUfm

40