Pulau Sipadan Tutup Setiap Disember

SEMPONA: Pulau Sipadan yang terkenal dengan keindahan hidupan marinnya akan ditutup untuk semua aktiviti laut sepanjang Disember bermula pada tahun depan.

Arahan itu dikeluarkan Taman-Taman Sabah atas permintaan kumpulan operator aktiviti menyelam sebagai langkah untuk memberi tempoh ‘memulihkan’ persekitaran laut di pulau berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew berkata, Disember dipilih kerana ia adalah musim paling kurang aktiviti menyelam.

“Penutupan sementara selama sebulan itu adalah untuk memberi ruang kepada kehidupan batu karang dan marin dipulihkan.

“Kumpulan operator aktiviti menyelam sendiri mencadangkan perkara ini dan mereka bersetuju dengan sebulat suara,” katanya.

Liew berkata demikian ketika diminta menjelaskan mengenai notis oleh Taman-Taman Sabah mengenai penutupan pulau berkenaan yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Sementara itu, mengenai had semasa pelawat ke Pulau Sipadan, Liew berkata, ketika ini jumlah maksimum yang dibenarkan adalah seramai 156 penyelam setiap hari, manakala bagi aktiviti snorkeling pula hanya dibenarkan dengan permit khas tidak lebih daripada 20 orang sehari.

Menurut notis yang dikeluarkan Taman-Taman Sabah yang bertarikh 31 Julai lalu, penutupan itu dicadangkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pulau Ligitan dan Sipadan pada 25 Januari lalu.

Bagaimanapun, cadangan terbabit akhirnya dipersetujui ketika Bengkel Pengagihan Kuota Selaman Pulau Sipadan pada 26 Februari tahun ini dan persetujuan itu ditandatangani oleh Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *