Pemalsuan Dokumen, Pegawai Pendaftar JPN Antara Tiga Ditahan Di Semporna

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 29 Julai – Seorang pegawai pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara antara tiga lelaki yang ditahan membabitkan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri di Semporna.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata ketiga-tiga lelaki itu yang berusia 30 hingga 43 tahun ditahan pada Selasa lepas (23 Julai) di sekitar daerah Semporna.

Foto Ihsan Polis Sabah

Katanya turut dirampas daripada mereka antaranya borang daftar kelahiran, bahagian kad pengenalan, 34 cop palsu jabatan kerajaan, klinik kesihatan, hospital, ketua kampung dan pesuruhjaya sumpah.  

“Sehingga kini, seorang saksi telah tampil menggunakan proses daftar kelahiran dilakukan oleh sindiket tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya sindiket itu disyaki menjalankan kegiatan mereka sejak awal tahun lepas dengan menawarkan perkhidmatan daftar sijil lahir dengan bayaran RM3,500 dan daftar kad pengenalan RM6,000.

Foto Ihsan Polis Sabah

Zaini berkata kegiatan sindiket itu terbongkar selepas polis menerima laporan pada 22 Julai lepas daripada seorang lelaki berusia 55 tahun yang ada berurusan dengan seorang lelaki di Semporna untuk membantu mendapatkan dokumen sijil kelahiran dan kad pengenalan warganegara Malaysia.

Katanya pengadu mendakwa dia berjumpa dengan lelaki itu pada 19 Julai lepas dengan mengenakan bayaran kos RM3,500 untuk sijil kelahiran dan RM6,000 untuk kad pengenalan.

Beliau berkata bertindak atas laporan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di kantin sebuah sekolah menengah pada Selasa lepas yang kemudian membawa polis ke rumahnya di Kampung Bugaya Semporna.

Dalam rumah itu, polis merampas antaranya borang daftar kelahiran dan kad pengenalan JPN, buku rekod kesihatan bayi dan 34 cop palsu antaranya JPN, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Pejabat Mahkamah Anak Negeri Semporna dan Klinik Kesihatan Semporna, katanya.

Menurutnya susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Miramas Semporna yang membawa kepada dua lagi tangkapan membabitkan pegawai pendaftar JPN, Gred N22 di cawangan Semporna berusia 43 tahun dan seorang lelaki berusia 30 tahun.

Katanya di rumah itu rampasan membabitkan sekeping borang masing-masing daftar kelahiran dan daftar lewat kad pengenalan serta sekeping salinan sijil lahir dan satu fail JPN.

Beliau berkata polis turut menyerbu rumah lelaki berusia 30 tahun itu di Kampung Bugaya dan merampas sekeping salinan rekod pengembangan kanak-kanak dan resit rasmi daftar lewat sijil lahir.

Zaini berkata ketiga-tiga lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya siasatan lanjut yang dijalankan termasuk mengenal pasti jika ada penjawat awam lain terlibat dalam kegiatan sindiket tersebut.  

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *