Terminal KK Sentral penanda aras baharu Kota Kinabalu sebagai bandar raya – pengguna

KOTA KINABALU, 27 Julai (Bernama) — Terminal KK Sentral, di sini, yang telah dilancarkan secara rasmi pada Isnin, menjadi penanda aras baharu Kota Kinabalu sebagai bandar raya terutama dalam usaha memperbaiki kecekapan sistem pengangkutan awam bandar ke arah lebih efisien, sistematik dan selamat.

Rata-rata orang awam ditemui Bernama berpuas hati dengan pencapaian terbaik itu, namun, mahu beberapa aspek ditambah baik termasuk menyediakan skrin paparan jadual perjalanan dan sistem pembesar suara di ruangan menunggu, untuk memudahkan pengguna peka terhadap masa perjalanan bas mereka.

Seorang Penolong Jurutera, Andrew Goduk, 32, berkata KK Sentral berupaya melonjakkan lagi imej Kota Kinabalu sebagai bandar raya, apatah lagi bandar ini sering menerima kehadiran pelancong ramai yang tentunya memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Akses pengangkutan awam komprehensif dan kondusif juga sering dijadikan sebagai penanda aras oleh orang ramai, untuk menentukan sesebuah bandar raya itu berkembang maju,” katanya kepada Bernama, di sini.

Andrew yang buat pertama kali menggunakan perkhidmatan bas di KK Sentral untuk ke Menumbok turut mencadangkan perkhidmatan bas ulang alik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke terminal itu disediakan, untuk memudahkan pergerakan orang ramai mendapatkan akses pengangkutan awam lain.

“Papan tanda penunjuk arah di terminal ini juga perlu diperbanyakkan lagi, bagi memudahkan orang ramai mengetahui ke mana hala tuju dan destinasi mereka,” katanya.

Terminal KK Sentral dibina di atas tanah seluas tiga hektar dengan belanja keseluruhan kira-kira RM54 juta itu menempatkan perkhidmatan bas ekspres menuju ke Beaufort, Menumbok, Sipitang, Lawas, Limbang dan Brunei, yang sebelum ini beroperasi di terminal sementara di Jalan Tugu.

Dibina pada 2011 dan siap sepenuhnya pada 2017, terminal itu adalah sebahagian daripada empat terminal bas bersepadu dirancang di bawah Pelan Induk Pengangkutan Awam Bandaraya Kota Kinabalu, iaitu komponen penting dalam perancangan penambahbaikan sistem pengangkutan awam bandar raya.

Sementara itu, Mohd Shohibul Jaffar, 33, berkata pelbagai kemudahan asas lain disediakan di Terminal KK Sentral seperti tandas, cafe dan surau, selain turut dilengkapi penghawa dingin yang pastinya memberi lebih keselesaan kepada pengguna berbanding di terminal bas sebelum ini.

“Sebelum ini (di terminal bas lama) saya terpaksa menunggu bas dalam keadaan kurang selesa, bagaimanapun dengan beroperasinya KK Sentral, saya berasa teruja dan senang hati kerana kemudahan asas lain ada di dalam terminal ini, selain harga tiket bas juga masih tetap sama,” katanya, yang mahu sistem pembelian tiket bas secara dalam talian diperkenalkan pengusaha bas.

Mohd Shohibul yang bekerja di sebuah syarikat utiliti berpendapat, KK Sentral mampu menjadi platform permulaan untuk Sabah terus memacu sektor pengangkutan awam bandar lebih cekap dan strategik di masa akan datang, bagi memudahkan pengaliran pengangkutan awam bas dan teksi kerana kebanyakan terminal yang ada pada masa sekarang tidak begitu tersusun.

“Mungkin selepas ini, perkhidmatan pengangkutan kereta api pula yang ditambah baik,” katanya.

Bagi Illa Faizal, 35, masyarakat pengguna sekitar bandar raya ini perlu sentiasa menghargai infrastruktur pengangkutan awam baharu itu, dengan memastikan kemudahan asas yang disediakan di terminal tersebut digunakan secara baik tanpa berlaku sebarang vandalisme.

Peniaga kecil-kecilan itu juga berharap setiap pengguna sentiasa menjaga kebersihan terminal bas berkenaan, demi memastikan keselesaan berada pada tahap optimum dan bebas daripada sampah, kerana sikap pengguna amat penting dalam memastikan infrastruktur tersebut kekal dalam keadaan baik dan bersih.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *