Karnival e-Padaidi platform terbaik bina kerjasama keusahawanan Bugis Sabah – Ketua Menteri

TAWAU, 27 Julai (Bernama) — Karnival e-Padaidi merupakan platform terbaik bagi membina kerjasama keusahawanan dalam kalangan masyarakat Bugis di Sabah, dan kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan sebarang inisiatif seumpama ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penganjuran karnival itu perlu dilaksanakan secara konsisten demi pembangunan keusahawanan serta perniagaan masyarakat Bugis dan juga semua kaum.

“Suka saya menyarankan bukan sahaja untuk anggota Persatuan Dewan Perniagaan Bugis tetapi seluruh masyarakat Bugis Sabah agar menjalin kolaborasi keusahawanan kukuh sekali gus membawa potensi besar kepada ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan wakilnya, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong sempena perasmian pembukaan Karnival e-Padaidi di sini, dihadiri lebih 10,000 pengunjung, malam ini.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan sukan minda domino, persembahan gendang dan alat muzik kecapi, pertandingan makan kuih tradisi, pertunjukan kereta berhias, selain terdapat gerai pameran dan gerai jualan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *