Harta, kekayaan Sabah perlu dikongsikan kepada semua rakyat – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Harta dan kekayaan di Sabah perlu dikongsikan kepada semua rakyat sehingga ke akar umbi, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sehubungan itu, beliau berkata pembaharuan terhadap sistem pentadbiran di Sabah perlu dilakukan agar semua rakyat mendapat manfaat daripada kekayaan itu.

“Kita perlu pembaharuan dalam pentadbiran…ini la masanya dan saya yakin perkara itu dapat dilakukan kalau kita mempunyai pendekatan untuk memboleh kekayaan ini dimanfaatkan semua rakyat.

“Saya sedar bahawa sebagai pemimpin bukan mudah untuk merealisasi perkara ini, namun apa yang perlu kita lakukan adalah kerjasama dan usaha kolektif daripada semua pihak dan bukan hanya daripada pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Kolej Yayasan Sabah (UCSF), di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata Sabah perlu melahirkan ramai anak-anak yang berilmu dan boleh berjasa dan menjadi aset negeri di masa akan datang.

“Kita sedar ramai anak-anak yang mempunyai keinginan dan komitmen tinggi untuk belajar namun tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana ibu bapa tidak mampu. Oleh itu kerajaan akan berusaha membantu agar anak-anak itu mendapat pendidikan sehingga ke universiti.

“Sebagai kerajaan kita bukan sahaja mahu bangunkan negeri…tetapi kita juga mahu anak-anak kita berilmu dan mejadi modal insan kepada negeri ini,” katanya.

Mengulas mengenai majlis itu, Mohd Shafie mengucapkan tahniah kepada 274 graduan pertama yang dikeluarkan oleh UCSF sejak ditubuhkan empat tahun lepas.

“Saya juga difahamkan kebanyakan graduan ini telah bekerja dan ada yang menjalankan perniagaan sendiri…ini adalah berita gembira kerana kita sering mendengar masalah graduan menganggur terutamanya dikalangan bumiputera.

“Sebagai pemimpin kerajaan saya mahu garduan turut serta dan memberi sumbangan kepada pembangunan negeri…Oleh itu saya mahu UCSF terus menghasilkan graduan yang boleh menjadi tenaga kerja atau mempunyai keyakinan dan kemahiran yang diperlukan untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan,” tambahnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *