Latihan Tembakan Misil Pesawat TUDM di Lapang Sasar Udara Kota Belud

KOTA KINABALU, 25 Julai (Bernama) — Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Latihan Tembakan Misil Udara ke Udara dan Tembakan Udara Ke Bumi di Lapang Sasar Udara Kota Belud bermula 23 Julai lepas hingga 10 Ogos ini.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan hari ini berkata latihan selama 19 hari itu melibatkan ruang udara negeri Sabah serta perairan di sekitarnya, dan antara pesawat yang terlibat termasuk pesawat pejuang jenis Sukhoi SU-30MKM dan F/A-18D Hornet.

“Pesawat B200T dari No 16 Skn akan melaksanakan range clearance. Sementara pesawat A400M dan C130H pula berfungsi sebagai “transup”, manakala “Air to Air Refuelling” akan menggunakan pesawat A400M sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Katanya latihan kali ini juga turut melibatkan bantuan dari kapal laut milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)  dan juga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang membantu melaksanakan “Surface Clearance” bagi memastikan kawasan tembakan selamat untuk beroperasi. 

Menurutnya latihan itu bertujuan menguji kecekapan dan keupayaan juruterbang pesawat pejuang TUDM dalam mengendalikan pesawat dan melancarkan pelbagai persenjataan tepat ke sasaran.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan kesiagaan aset dan persenjataan TUDM sentiasa berada pada tahap terbaik khususnya di dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat TUDM terbang rendah dan mendengar bunyi letupan di beberapa kawasan sekitar ruang udara Sabah dalam tempoh berkenaan.

BERNAMA