Juragan Terjun Laut, Penumpang Bot Tanpa Dokumen Ditahan Bersama 1,650 Liter Minyak Petrol

Tiga ditahan kerana berada dalam bot pam yang disyaki membawa muatan petrol dalam kuantiti mencurigakan dan dipercayai dalam perjalanan menuju ke negara jiran. – Foto Ihsan PPM

TAWAU, 24 Julai: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan tiga lelaki pendatang tanpa izin serta merampas 1,650 liter minyak petrol cuba diseludup ke Filipina menggunakan pam bot melalui perairan laut Batu 5 dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, kejadian itu berlaku pukul 8.15 malam sewaktu anggotanya menjalankan Ops Gelora Khas di kawasan itu dan menerima maklumat intipan dari Unit Risikan Marin (URM) mengenai pergerakan sebuah bot mencurigakan dipercayai menuju ke Filipina.

Tiga ditahan kerana berada dalam bot pam yang disyaki membawa muatan petrol dalam kuantiti mencurigakan dan dipercayai dalam perjalanan menuju ke negara jiran.

“Ketiga-tiga lelaki berusia 40an yang ditahan ketika itu mengaku hanya sebagai penumpang dan tidak memiliki dokumen sah, manakala juragan bot bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut.

“Turut ditemui di dalam bot itu 55 jerikin berisi 1,650 liter minyak petrol,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, usaha mengesan juragan yang melarikan diri itu masih gagal.

Ketiga-tiga penumpang bot yang ditahan dibawa ke pangkalan markas operasi PPM untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan dianggarkan RM14,800 termasuk 55 unit jerikin isi minyak petrol, dan satu buah perahu Flywood dan tiga enjin pam,” katanya.

Menurut beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *