
SANDAKAN , 22 Julai: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 7,000 biji telur penyu di kawasan Sungai Batu 2 dekat sini, semalam, dipercayai diseludup masuk dari Filipina untuk pasaran tempatan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata telur penyu yang dianggarkan bernilai RM12,600 itu ditemui di dalam ruangan pam bot yang ditinggalkan di sungai berkenaan pada 2.30 pagi.

Menurutnya rampasan itu dibuat hasil maklumat risikan pegawai serta anggota Unit Risikan Marin (URM) menggunakan bot ronda PSC 13 PPM Sandakan di kawasan berkenaan yang mengesan sebuah bot berkapasiti dua enjin pam memecut laju sebelum terkandas di kawasan cetek.

“Juragan bot yang juga disyaki pemilik telur penyu bertindak melarikan diri selepas pam bot dikendalikannya terkandas di kawasan air cetek,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari di sini.
Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata barang rampasan di bawa ke Markas Operasi PPM Sandakan bagi proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sandakan untuk tindakan lanjut.
BERNAMA