Perompak Dan Isteri Ditahan Semasa Bersembunyi Di Resort Mewah Di Tuaran

Haris (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang berjaya dirampas semasa penahanan suspek awal bulan ini.

PENAMPANG: Seorang perompak dan isterinya ditahan polis semasa sedang membelanjakan wang sebanyak RM21,000 yang dilarikan dari sebuah hypermarket di Putatan awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata suspek dan isterinya juga dipercayai menyembunyikan diri dengan menginap di resort terkenal Pantai Dalit Tuaran itu.

Antara barangan yang dirampas dipercayai hasil kegiatan pecah masuk premis di sekitar Penampang dan Putatan.

“Kejadian berlaku apabila seorang peniaga membuat laporan polis seawal jam 6 pagi pada 3 Julai lalu mengatakan premisnya dipecah masuk dan wang sebanyak RM21,000 yang disimpan di dalam peti besi kedai hilang dilarikan oleh perompak yang memecah masuk kedai terbabit,” katanya.

Menurutnya bertindak atas kejadian, suspek dan isterinya berjaya ditahan di resort terbabit kira-kira jam 11.30 malam pada 11 Julai hasil risikan dan siasatan terperinci pihak Jabatan Siasatan Jenayah IPD Penampang.

“Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku melarikan wang dari premis terbabit sebelum membahagikan wang berkenaan bersama seorang lagi rakannya yang kini ditahan di IPD Kota Kinabalu.

“Suspek yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sejak Mac tahun ini turut mengakui terlibat dalam tujuh siri kes pecah rumah,” katanya.

Haris berkata semasa tangkapan dilaksanakan, polis berjaya merampas beberapa barangan termasuk barang kemas dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah dan wang tunai sebanyak RM1,569 serta beberapa barangan lain.

“Dengan tertangkapnya suspek polis berjaya menyelesaikan tujuh siri kes pecah rumah yang berlaku di sekitar Penampang dan Putatan,” katanya sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *