Wujudkan Kategori Jalan Pelancongan Luar Bandar – KPLB Sabah

Ewon bersama pemimpin dan ahli KOPEL selepas melawat Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan (KOPEL Bhd), di Kinabatangan. – Ihsan KPLB

KINABATANGAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mencadangkan supaya kategori jalan pelancongan luar bandar diwujudkan di negeri ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata ia bagi memudahkan kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas untuk menyelenggara atau menaik taraf jalan ke kawasan pelancongan di luar bandar.

Ewon bersama pemimpin dan ahli KOPEL selepas melawat Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan (KOPEL Bhd), di Kinabatangan. – Ihsan KPLB

Katanya, perkara itu penting berikutan kebanyakan jalan yang menghubungkan pusat pelancongan diusahakan komuniti luar bandar, tidak dapat diselenggara kerana ketiadaan peruntukan khusus.

Tambahan pula, beliau berkata, Kabinet negeri pada mesyuarat, awal tahun ini, membuat ketetapan menubuhkan Jawatankuasa Pelancongan Luar Bandar bagi memantau dan melipatgandakan usaha membangunkan sektor pelancongan luar bandar secara bersepadu, termasuk dari aspek jalan perhubungan.

“Banyak jalan perhubungan menuju ke pusat pelancongan luar bandar yang diusahakan komuniti setempat, memerlukan perhatian kerajaan.

“Selama ini, kita sedia maklum kategori jalan seperti jalan pertanian, jalan majlis dan jalan kampung tetapi tiada jalan pelancongan luar bandar.

“Oleh itu, kita mencadangkan agar satu kategori baharu dinamakan jalan pelancongan luar bandar diwujudkan,” katanya dalam kenyataan mengenai lawatan beliau ke Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan (KOPEL Bhd), di sini, semalam.

Ewon berkata, Jawatankuasa Pelancongan Luar Bandar yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, dengan dibantu beliau, sudahpun mengadakan mesyuarat pertama beberapa minggu lalu.

“Saya mempengerusikan mesyuarat itu untuk membincangkan lebih lanjut mengenai terma rujukan dan fokus utama jawatankuasa ini.

“Antara fokus ialah mewujudkan dasar kerajaan negeri berkaitan pelancongan luar bandar; meneliti isu aktiviti pelancongan luar bandar di kawasan perhutanan, pulau dan persisiran pantai; serta keperluan menaik taraf jalan menuju ke pusat aktiviti pelancongan komuniti.

“Selain itu, ia akan memberi tumpuan kepada perusahaan atau aktiviti pelancongan dalam kawasan hutan simpan seperti di Kampung Batu Puteh, Kinabatangan. Jika pelancongan luar bandar boleh dilaksanakan di sini, ia juga boleh dilaksanakan di daerah lain.

“Saya dimaklumkan oleh beberapa pegawai daerah, termasuk di Nabawan dan Keningau yang bersempadan dengan hutan simpan serta berpotensi dibangunkan sebagai pelancongan luar bandar, aktiviti itu tersekat kerana dasar tertentu,” katanya.

Ewon berkata, KOPEL Bhd boleh dijadikan penanda aras kejayaan pelancongan luar bandar dan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan membangunkan kawasan sekitar kampung itu untuk menjadi punca pendapatan penduduk melalui aktiviti pelancongan.

KOPEL Bhd memfokus aktiviti pelancongan luar bandar berasaskan komuniti yang menyediakan 128 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan meraih pendapatan RM2.4 juta pada tahun lalu dengan kehadiran lebih 7,000 pelancong ke kampung terbabit.

Berita Harian