Pemandu Patah Kaki Kereta Dirempuh Lori Di Jalan Papar-Beaufort

Kereta mangsa yang remuk teruk di bahagian hadapan akibat kemalangan itu.

SEORANG lelaki mengalami kecederaan serius patah kaki selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa muatan ais di Kilometer 27 Jalan Papar-Beaufort dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 9 pagi semasa mangsa dalam perjalanan dari arah Papar menuju ke Beaufort.

Menurutnya, pemandu lori berkenaan gagal mengawal kenderaannya dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta mangsa.

“Akibat daripada kemalangan itu, kaki mangsa tersepit menyebabkannya patah kaki sebelum pihak bomba membantu mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi mengesahkan kejadian di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa hingga menyebabkan kemalangan.

Pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan mangsa kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *