Kenyataan Madius Tangau Cetus Salah Faham Rakyat Sabah

Musli (empat kiri) bersama beberapa wakil persatuan menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Madius. – Foto Musli Oli

KOTA KINABALU: Satu laporan polis dibuat terhadap Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berikutan kenyataannya yang dianggap boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Laporan berkenaan dibuat oleh aktivitis politik Musli Oli yang juga seorang penulis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kira-kira jam 2 petang Isnin.

Foto Musli Oli

Musli berkata, tindakan Madius mengeluarkan kenyataan sedemikian menerusi akaun Facebook beliau mencetuskan salah faham dan dendam dalam kalangan netizen yang berbilang kaum dan agama di Sabah.

Menurutnya, sebagai seorang yang berjawatan tinggi lebih-lebih lagi sebagai Timbalan Ketua Menteri, Madius tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham dan perselisihan dalam kalangan penganut agama Islam dan bukan Islam di negeri ini.

Katanya, Madius memuat naik kenyataan yang mendakwa seorang pemimpin kerajaan negeri Sabah pada 38 tahun lalu mengadakan upacara pengislaman beramai-ramai di Tambunan secara paksa.

“Saya cabar beliau (Madius) agar membuktikan dakwaannya berhubung upacara pengislaman secara paksa itu.

“Beliau harus bertanggungjawab terhadap kenyataannya dan sebagai rakyat yang cintakan perpaduan, saya cabar beliau menyebut nama pemimpin kerajaan yang dimaksudkan dalam kenyataan berkenaan bersama bukti,” katanya kepada media di sini selepas membuat laporan polis.

Beliau berkata, Madius perlu menunjukkan bukti yang menunjukkan berlaku ugutan semasa pemimpin (yang dimaksudkannya) berdakwah di Tambunan.

Musli berkata, adakah Madius yang juga presiden Upko mampu membaiki hubungan kaum dan agama di Sabah dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian, sedangkan secara jelas ia mengundang kepada bibit dendam serta kebencian terhadap pemimpin Islam.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin belia yang aktif di Sabah Zikri Zainudin menggesa agar Madius membuat permohonan maaf secara terbuka melalui media sosial kepada masyarakat Islam di Sabah.

“Sebagai pemimpin utama di Sabah, Datuk Madius perlu menunjukkan teladan baik serta mengeluarkan kenyataan yang baik-baik saja.

“Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sudah menegaskan dalam ucapannya agar tidak perlu berpecah belah malah menuntut rakyat Sabah untuk bersatu padu menjaga kesejahteraan dan keharmonian sedia ada.

“Kenyataan Datuk Madius amat kontradik dengan kenyataan Ketua Menteri kerana ia mengguris hati rakyat Islam di Sabah dengan mengeluarkan fakta sejarah yang kurang tepat, bersifat perkauman dan menyentuh sensitiviti agama,” jelasnya.

Beliau turut memohon agar para pemimpin Sabah untuk berfikir sebelum membuat sebarang kenyataan kerana setiap kenyataan dan komen di media sosial akan meninggalkan jejak.

Justeru, Zikri menyarankan supaya para pemimpin terus positif di media sosial dengan membawa mesej kesejahteraan dan keharmonian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *