Tambadau Sabah Kerah Pemain Simpanan Menentang TFC II Esok

Jelius Ating,

Sabah kerah pemain simpanan uji TFC II

Juara Liga Perdana, Sabah, merehatkan beberapa tonggak utamanya ketika berdepan Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi terakhir saingan liga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, esok.

Pengendalinya, Jelius Ating, berkata beliau akan mengambil peluang untuk menguji pemain yang jarang diturunkan untuk perlawanan itu. 

Bagaimanapun, beliau menegaskan walaupun menurunkan pemain simpanan, ia bukan bermakna aksi itu hanya sebagai pelengkap jadual Liga Perdana musim ini, sebaliknya lebih kepada strategi bagi menghadapi saingan Piala Malaysia akan datang. 

“Beberapa pemain utama berisiko digantung permainan jika dilayangkan kad kuning pada perlawanan itu dan kita tidak mahu ambil risiko berkenaan kerana kita mahu memulakan saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula awal Ogos dengan barisan terbaik.

“Ada juga pemain utama yang mengalami kecederaan ringan, jadi sebaiknya mereka direhatkan bagi mengelak kecederaan lebih serius,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. 

Jelius berkata, tujuan beliau menurunkan pemain simpanan juga adalah untuk menjadikan mereka lebih bersedia bagi menghadapi Piala Malaysia kerana mereka juga bakal diberi peranan nanti. 

“Kita mahu satu skuad yang mantap dalam Piala Malaysia nanti, oleh itu semua pemain termasuklah pemain simpanan perlu bersiap sedia sepenuhnya,” katanya. 

Antara tonggak yang dijangka direhatkan ialah Rozaimie Rohim (penjaga gol), Alto Linus, Mohd Azizan Nordin, Jenius Karib dan penyerang import, Rodoljub Paunovic.

Menurutnya, Paunovic, Mafry Balang dan Dendy Lowa antara yang berisiko digantung perlawanan jika dilayangkan kad kuning.

Turut tidak dibawa ke Terengganu ialah Evan Wensley yang menjalani penggantungan satu perlawanan.

“Saya difahamkan sekiranya ada pemain yang digantung perlawanan selepas aksi esok, ia akan dibawa ke Piala Malaysia tetapi jika belum sampai digantung, semua kad kuning yang dikumpul tidak akan dikira lagi dan faktor inilah yang saya ambil kira sebelum menyenaraikan pemain bagi menghadapi TFC II,” katanya. 

Sebarang keputusan dalam aksi malam esok tidak akan mengubah kedudukan Sabah yang telah dinobatkan sebagai juara Liga Perdana lebih awal. 

Berita Harian