Program Ramah Mesra Ketua Menteri Di Tambunan Tidak Gugat Kedudukan Huguan Siou

KOTA KINABALU: Dakwaan menyatakan penganjuran Program Ramah Mesra Ketua Menteri pada Sabtu ini tidak menghormati Huguan Siou dan bertujuan merekrut ahli Parti Warisan Sabah (PWS) adalah tidak benar.

Setiausaha Akhbar Menteri Pembangunan Infrastruktur Jasnin Suman berkata, dakwaan berunsur hasutan yang tular dan dikongsi melalui aplikasi WhatsApp itu dilihat sengaja dilakukan bagi memboikot majlis berkenaan.

Beliau berkata, tindakan melaga-lagakan pemimpin kerajaan dengan pemimpin agung masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan itu adalah agenda jahat pihak tertentu.

“Ada pihak yang mendakwa penganjuran program ramah mesra itu adalah landasan awal Datuk Peter Anthony selaku Presiden Pertubuhan Kadazan DusunMurut (KDM) Malaysia untuk mempangaruhi kedudukan Huguan Siou. Itu adalah kenyataan berbaur fitnah dan disengajakan.

“Sebagai rekod, Peter selaku Presiden KDM Malaysia dalam satu kenyataan akhbar pada Mei 2018 jelas menyatakan Pairin kekal sebagai ‘Huguan Siou’ dan akan terus dihormati. Tiada sebab untuk mengenepikan kedudukan Pairin sebagai Huguan Siou, malah tiada siapa yang boleh mencabar kedudukan beliau untuk jawatan berkenaan,” kata Jasni dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Menurutnya, hubungan pemimpin masyarakat KDM di Sabah khususnya Pairin dan Peter amat baik dan ianya jelas dilihat dalam penganjuran Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2019.

Pertemuan empat mata antara Pairin dan Peter jelas memperlihatkan keikhlasan kedua-dua pemimpin itu untuk memartabatkan bangsa KDM.

Pairin selaku Huguan Siou juga telah bersetuju dengan cadangan menyatukan bangsa KDM tanpa mengira fahaman politik.

Berkenaan dengan dakwaan mengatakan majlis pada 20 Julai di Dewan Pisompuruan Tambunan itu sebagai medium untuk mendaftar ahli Warisan menerusi borang keahlian KDM Malaysia juga merupakan satu tuduhan tidak berasas.

“Amalan mengisi borang untuk menjadi ahli Pertubuhan KDM Malaysia dengan menyertakan salinan Kad Pengenalan kepada para petugas merupakan langkah yang sering dilakukan pertubuhan dalam apa juga majlis yang diadakan. Ini antara usaha menambah keahlian Pertubuhan KDM Malaysia.

“Dengan menunjukan Kad Penganalan dan menyediakan salinan, pihak petugas akan memudahkan proses mengisi borang sekaligus dapat memastikan bahawa pemohon tersebut adalah benar-benar bangsa KadazanDusunMurut (KDM) dan bukannya warga asing.

“Justeru tuduhan mengatakan tujuan meminta salinan Kad Pengenalan semasa mendaftar menjadi ahli Pertubuhan KDM Malaysia sebagai ‘ada udang sebalik batu’ dan dikaitkan dengan pendaftaran automatik sebagi ahli Warisan adalah tidak benar sama sekali.

Pemberian hadiah-hadiah cabutan bertuah juga sudah menjadi amalan biasa dalam program-program anjuran KDM Malaysia dari dahulu sebagai memeriahkan lagi program atau majlis yang dianjurkan.

Selain daripada hadiah-hadiah bertuah, turut menjadi amalan dan kebiasan penganjur (KDM Malaysia) ialah memberi sumbangan kepada warga emas, fakir miskin, anak-anak yatim dan badan keagamaan tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

“Saya berharap penjelasan ini dapat menafikan segala dakwaan serta fitnah pihak tertentu yang sengaja menimbulkan prasangka serta provokasi dalam kalangan masyarakat KDM di Sabah,” ujarnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *