Senarai e-Kasih Perlu Dikaji Pastikan Golongan Layak Terima Bantuan – Ewon

Gambar Ewon Benedick

KOTA KINABALU – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick mahu senarai nama ketua isi rumah miskin dalam sistem pangkalan data e-Kasih perlu dikaji semula bagi memastikan program bantuan rakyat termiskin sampai kepada golongan sasar yang layak.

Ini kerana pihaknya menerima beberapa aduan berhubung individu layak tidak tersenarai sebagai penerima e-Kasih sebaliknya mereka yang tidak layak menerima bantuan apabila tersenarai dalam sistem pangkalan data berkenaan.

Gambar Ewon Benedick

“Justeru, saya mahu pasukan bergerak di setiap pejabat daerah diketuai pegawai daerah masing-masing memperkasakan lagi aktiviti lawatan verifikasi di semua rumah supaya isu ini dapat diatasi sekali gus memastikan hanya golongan selayaknya menerima bantuan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ewon berkata Kerajaan Negeri bersetuju mekanisme sedia ada bagi memproses permohonan e-Kasih dikekalkan, bagaimanapun, lawatan verifikasi di setiap daerah juga perlu lebih proaktif dalam memastikan setiap individu membuat permohonan itu adalah individu layak berdasarkan syarat dan kriteria ditetapkan.

Lawatan verifikasi ke setiap rumah juga mampu membantu jabatan dan agensi kerajaan berkaitan mengenal pasti permasalahan dihadapi setiap keluarga isi rumah miskin sekali gus menentukan jenis bantuan disalurkan kepada mereka.

“Hasil lawatan verifikasi ini juga boleh digunakan ke arah memperkasakan lagi dasar dan program membasmi kemiskinan sedia ada serta memperkenal inisiatif baharu memandangkan kemiskinan masih menjadi isu besar yang perlu ditangani secara efektif oleh kerajaan,” katanya.

BERNAMA