PPM Rampas Barang Kawalan Bernilai Lebih RM4,000, Tahan Remaja 18 Tahun

Semua barangan termasuk enjin dan bot jongkong dianggarkan bernilai RM62,497 dirampas sebelum diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut. Foto Ihsan PPM

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang remaja lelaki kerana disyaki cuba menyeludup barang kawalan di kawasan Kuala Sungai Logpond, dekat sini, petang kelmarin.

Bot jongkong dikendalikan remaja berumur 18 tahun itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota PPM susulan risikan dan pemantauan yang dijalankan menerusi ‘Ops Gelora Khas’ kira-kira jam 5.30 petang.

Bot jongkong dipenuhi muatan barangan kawalan bernilai RM4,497 ditahan di kawasan Kuala Sungai Log Pond Tawau.Foto Ihsan PPM

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata bot jongkong terbabit ditahan ketika sedang bergerak keluar dari Sungai Logpond sebelum diiring ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan rapi terhadap bot jongkong yang sarat dengan muatan itu menemui kira-kira 1,020 kilogram (kg) minyak masak dan 660 kg gula pasir.

Bot jongkong dipenuhi muatan barangan kawalan bernilai RM4,497 ditahan di kawasan Kuala Sungai Log Pond Tawau.Foto Ihsan PPM

“Juragan juga gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kelulusan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi semua barang kawalan yang dibawanya,” katanya menerusi kenyataan, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, semua barang kawalan berkenaan disyaki cuba diseludup keluar untuk dipasarkan di negara jiran, Indonesia.

Katanya, nilai keseluruhan barang rampasan termasuk bot jongkong bersama dua unit enjin 40 kuasa kuda (hp) berjumlah RM62,497.

“Juragan kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Berita Harian

17