PGA Kenalpasti ‘Laluan Tikus’ Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Di Beluran

Mohd Nasaruddin (kanan) ketika melakukan tinjauan kali pertama ke pos kawalan PGA Batalion 20 Beluran, di Beluran. – NSTP/Hazsyah Abdul Rahman

BELURAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 mengesan beberapa ‘laluan tikus’, termasuk lokasi pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui Perairan Beluran.

Pegawai Memerintah PGA Batalion 20, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata laluan berkenaan juga dipercayai menjadi laluan penyeludupan.

“PGA bersama Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman hari ini melakukan lawatan ke Pos Kawalan Mamahat, Pos Kawalan Sugut, Tetabuan dan Pulau Langkayan.

“Kita sudah mengenalpasti `laluan tikus’ yang sering digunakan PATI, termasuk untuk tujuan penyeludupan di daerah ini. Malah, strategi sudah dirangka bagi menangani isu secara drastik dan lebih berkesan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya, hasil lawatan itu juga, terdapat beberapa pulau disyaki dijadikan sebagai tempat transit sementara bagi PATI atau kegiatan jenayah lain di daerah ini.

“Contohnya, Pulau Puru-Puru dan Pulau Botak, kita mendapati ada beberapa khemah penempatan yang disyaki didirikan sementara sebagai tempat transit.

“Malah, kita turut mengesyaki ia dijadikan tempat pertemuan perkara tidak sepatutnya dilakukan seperti penyeludupan, PATI dan tekong darat,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Nasaruddin berkata, tindakan yang efektif dan drastik akan diambil bagi menangani masalah itu.

Berita Harian