Hasrat Ke Tanah Suci Tercapai Selepas 40 Tahun

Impian Husein untuk menunaikan haji tercapai apabila dipilih menemani isterinya, Tjanno, selepas mendaftar dengan TH pada 2008. – NSTP/Abdul Rahemang Taiming

Impian tunai haji tercapai selepas 40 tahun

TAWAU: Hasrat seorang lelaki warga emas ke tanah suci tercapai selepas wang dikumpulkannya selama 40 tahun, hasil pendapatan sebagai pemandu teksi, akhirnya mencukupi, selain turut menerima surat tawaran mengerjakan haji tahun ini.

Bagi Husein Jailani, 61, tiada apa dapat diungkapkannya kecuali rasa syukur apabila impiannya itu bakal menjadi kenyataan.

“Niat mengerjakan haji bersama isteri disimpan sejak mula bekerja sebagai pemandu teksi pada 1978, namun disebabkan pendapatan tidak seberapa dan terpaksa membesarkan lapan anak, saya lewat mendaftar untuk menunaikan ibadah itu.

“Bagaimanapun, saya kuatkan semangat dan nekad menyimpan sedikit demi sedikit. Saya lebih mengutamakan pendidikan anak-anak ketika itu dan syukur berkat kerja keras, mereka kini semua berjaya dalam hidup masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program meraikan jemaah haji anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Tawau dengan kerjasama Tabung Haji Cawangan Tawau, di sini hari ini.

Husein berkata, impian untuk menunaikan haji tercapai apabila dipilih menemani isterinya, Tjanno Barang, 66, selepas mendaftar dengan TH pada 2008.

“Anak-anak yang mengaturkan semua kelengkapan persiapan dan persediaan sebelum berangkat ke tanah suci pada 26 Julai ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua USIA Bahagian Tawau, Yahya Zainal, berkata seramai 284 orang bakal haji membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Sebatik, Balung dan Apas diraikan pada program yang julung kali diadakan itu.

Katanya, program itu diadakan untuk meraikan bakal `Tetamu Allah’ selain mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain sebelum berangkat ke tanah suci secara berperingkat bermula 18 Julai ini.

Berita Harian