Narkotik Tahan 47 Individu Termasuk Empat Pengedar Dadah Di Sekitar Likas

Antara individu yang berjaya ditahan dalam operasi selama seminggu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu disekitar Likas, Kampung Numbak dan Kampung Cenderamata 2. Gambar Ihsan Polis.

Seramai 47 individu termasuk empat pengedar dadah ditahan dalam operasi selama seminggu yang berakhir, Jumaat lalu.

Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu itu menumpukan kawasan tumpuan Op Tapis dan Op Sarang yang pernah diserbu sebelum ini.

Antara lokasi serbuan dadah dalam operasi selama seminggu yang berakhir Jumaat lalu. Gambar Ihsan PDRM

Antara kawasan yang terbabit adalah sekitar Likas, Kampung Numbak dan Kampung Cenderamata 2, yang dikenal pasti menjadi lokasi berpotensi tinggi penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepanjang tempoh berkenaan sebanyak 25 serbuan berjaya dilakukan.

Katanya, hasil keseluruhan serbuan itu, polis menahan 47 individu berusia lingkungan 14 hingga 61 tahun.

“Dalam operasi ini, empat orang dikenal pasti sebagai pengedar dadah, lima individu memiliki dadah dan 37 individu lain ditahan selepas gagal ujian saringan air kencing.

“Manakala seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LPPK) 1985,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Habibi berkata, 33 individu yang ditahan dikenal pasti sebagai warga tempatan.

Katanya, pihaknya turut berjaya merampas 44.89 gram syabu, 103.40 gram ketamin, 97 gram ekstasi dan 1,746 gram serbuk ekstasi yang dianggarkan bernilai RM49,233.50 mengikut harga pasaran semasa.

Sementara itu, Habibi berkata, usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di lokasi yang dikenal pasti akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu katanya, polis meminta orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat jenayah dadah menerusi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220, 088-529211 atau WhatsApp ke talian 019-2182729 untuk tindakan segera.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *