PGA Tahan 4 Lelaki Dipercayai PTI Cuba Seludup Masuk Ke Sabah

Anggota BN20 PGA Beluran melakukan proses dokumentasi ke atas empat PTI yang ditahan.

Empat PTI ditahan kerana tidak miliki dokumen perjalanan sah

BELURAN: Empat lelaki pendatang asing tanpa izin (PTI) ditahan oleh sepasukan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran menerusi Op Taring di Tanjung Sumanggat, Mamahat dekat sini, pada Sabtu.

Pegawai Pemerintah BN20 PGA Beluran, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, kesemua lelaki yang berusia lingkungan 18 tahun hingga 34 tahun itu ditahan lebih kurang jam 4 pagi Sabtu.

Menurut beliau, dalam operasi itu, seorang pegawai bersama lima anggota BN20 PGA Beluran telah membuat rondaan kenderaan dan risikan maklumat di kawasan Sungai Tanjung Sumanggat Mamahat.

Katanya, pasukan itu kemudian telah membuat pemeriksaan ke atas empat orang lelaki yang disyaki telah menyusup masuk ke negeri ini dari negara jiran.

Hasil pemeriksaan ke atas semua lelaki itu mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Berikutan itu, katanya kesemua tangkapan telah dibawa ke Platun Tek Mamahat untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya sebelum diserahkan kepada IPD Beluran.

Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/1963.

Utusan Borneo