‘Boy Lembaga’ Ditahan Selepas Polis Lepaskan Tembakan

Boy Lembaga berjaya ditahan dan kini direman hingga Jumaat. Gambar Ihsan PDRM

TEMBAKAN HENTI BOY LEMBAGA

KOTA KINABALU: Polis melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dipandu ‘Boy Lembaga’ selepas lelaki itu cuba melanggar anggotanya di Batu 10 Jalan Tuaran Bypass berhadapan sebuah stesen minyak di Kota Kinabalu.

Kejadian berlaku pada 4.20 petang semalam, ketika serbuan menangkap lelaki berusia 38 tahun itu yang aktif melakukan pecah rumah dan pasar raya di beberapa daerah.

Dia akhirnya berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, suspek lebih dikenali dengan nama Boy Lembaga dikehendaki kerana banyak melakukan jenayah di beberapa daerah.

“Ketika kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota mengesannya dan cuba menahan dia yang memandu Proton Preve.

“Namun dia bertindak agresif dan cuba melanggar anggota hingga menyebabkan tembakan dilepaskan ke arah tayar kenderaan itu.

“Malah, suspek turut melanggar empat kenderaan lain sebelum berhenti di tepi jalan. Tiada pihak yang tercedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

George berkata, pihaknya merampas dua telefon bimbit suspek dan kereta digunakannya.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh anggota polis.

“Kita juga melakukan siasatan lanjut berkaitan jenayah dilakukannya,” katanya.

Harian Metro